Wednesday, November 26, 2008

Rasionalisme Dan Penjelasan Yang Menyeluruh

PENDAHULUAN

Penulisan ini akan menyentuh tentang ideologi moden khususnya ideologi atau aliran pemikiran dari barat yang mempengaruhi umat Islam. Perbincangan akan tertumpu kepada ideologi rasionalisme yang lahir bersama ideologi-ideologi barat yang lain. Ideologi ini telahpun bercambah dalam pemikiran masyarakat moden di Malaysia ketika ini. Skop perbincangan penulisan tertumpu kepada ciri-ciri, sejarah perkembangan dan pengaruhnya di Malaysia. Bagi mengupas tajuk ini terlebih dahulu perlu difahami definisi ideologi. Perkataan ideologi berasal daripada bahasa Greek cantuman dari kata ‘ideo’ dan ‘logos’. Ideo membawa pengertian pemikiran, manakala logos bererti ilmu. Dari segi istilah, ideologi dapat disimpulkan sebagai‘Satu keyakinan atau fahaman hasil dari pemikiran atau idea manusia sama ada dalam bentuk teori, falsafah, andaian dan sebagainya.(1).

Memahami ideologi dari konteks sejarah juga merupakan satu ciri yang amat penting untuk mengenali secara kritis dan analisis terhadap setiap aliran pemikiran (ideologi) yang berada di sekeliling kita. Bagi mengenali setiap ideologi-idelogi yang timbul dari barat kita perlu melihat dari sudut sejarah iaitu mengenali punca kelahiran aliran falsafah tersebut dan tokoh-tokoh pengasas bagi setiap aliran. Ini juga bersesuaian untuk mengenali dan memahami falsafah dan aliran-aliran pemikiran barat moden agar kita dapat memahami peradaban moden masa kini yang sedang mengawal percaturan dunia. Kita juga perlu mengenali sebilangan tokoh-tokoh intelektual dan pemikir barat agar kita mengenali gagasan-gagasan yang cuba diketengahkan oleh mereka supaya kita dapat mempertahankan aqidah umat Islam. Beberapa tokoh Rasionalisme kenali seperti Rene Descartes (1596-1650), Benedict Spinoza (1632-1677), Gottfried Wilhelm Leibnitz (1646-1716).(2)

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(1) Mohd Nor Mamat Pemikiran Islam dan Dunia Hari Ini:Senario Dunia Islam dan Strategi Menghadapi Cabaran Ummah. (1)
(2)http://www.permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=32


DEFINISI RASIONALISME.

Rasionalisme didefinisikan sebagai aliran ideologi yang meyakini bahawa segala pengetahuan dapat diraih oleh manusia melalui akal fikirannya semata-mata, kerana segala sesuatu tidak terbatas bagi akal manusia. (3). Rasionalisme, dalam erti mendewakan akal fikiran dan menjadikannya kayu ukur dalam menilai segala sesuatu, yang menjadi asas peradaban Barat juga dianut oleh golongan modenis dan liberal Muslim. (4).

Rasional adalah suatu kecenderungan pemikiran yang berorientasikan upaya menafsirkan alam dan segala fenomena manusia dan perbuatannya dengan tertumpu pada sejumlah teori. Oleh yang demikian, mazhab rasionais boleh muncul dalam wilayah pemikiran keagamaan, meskipun ada sebahagian yang menolak kemungkinan ini, dengan alas an adanya paradoks dan apresiasi terhadap rasio manusia dengan keyakinan adanya kekuatan ghaib yang merupakan cirri keimanan dalam agama. Aliran rasionalisme tidak terletak pada pengembalian segala sesuatu kepada konsep semata-mata, melainkan pada upaya menafsirkan gejala-gejala,baik alam ataupun manusia, sesuai dengan kaedah-kedah rasional (5)

Daripada definisi-definisi di atas dapat disimpulkan bahawa rasionalisme adalah penerimaan bahawa fikiran sebagai prinsip yang tertinggi yang merupakan organ ilmu yang menghakimkan segala dan penolakan segala yang mengatasinya seperti wahyu, nubuwwah.

(3)http://ppips.utm.my/web/islambest/index.php?option=com_content&task=view&id=114&Itemid=105

(4) http://ilmiah.blogdrive.com/archive/51.html

(5) Dr. Ahmad Mahmud Shubhi, 2001.Filsafat Etika Jakarta : PT Serambi Ilmu Semesta.



CIRI-CIRI RASIONALISME.

Falsafah moden bermula di Barat di Benua Eropah pada abad ke 17 dengan kemunculan aliran rasionalisme. Ahli falsafah rasionalis menyatakan bahawa kebenaran adalah bersumberkan ketaakulan, ia lebih agung dan wujud secara bebas daripada pengalaman pancaindera dan ilmu pengetahuan adalah bersifat a priori . (6).

Kemunculan aliran rasionalisme banyak dipengaruhi oleh perkembangan sains dan matematik dengan membawa pendekatan bahawa ketepatan falsafah menyamai ketepatan matematik. Mereka memberikan penekanan kepada kesanggupan minda manusia sebagai sumber kebenaran samada berkaitan manusia mahupun dunia. Golongan rasionalis menganggap apa yang difikir oleh akal secara jelas wujud diluar akal mereka, bukan wujud secara khayali semata-mata. Bahkan Descartes dan Leibniz menganggap wujud idea sedia (innate idea) dalam minda manusia. (7)

Oleh yang demikian boleh dikatakan ciri-ciri rasionalisme menjurus kepada aspek penggunaan akal semata-mata dalam menjelaskan kebenaran. Antara ciri-ciri rasionalisme yang dapat dijelaskan iaitu :

1.Rasionalisme menekankan fikiran sebagai sumber utama pengetahuan manusia
2.Akal pemegang autoriti terakhir bagi penentuan kebenarannya.
3.Sikap atau pemikiran yang mempercayai bahawa kepercayaan agama seharusnya ditolak jika ia didirikan tanpa asas rasional.
4.Setiap benda hanya boleh dijelaskan melalui satu sistem sahaja iaitu ketaakulan
5.Optimis bahwa kesejahteraan umat manusia akan ditunjang oleh kemajuan sains dan teknologi.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
(6) Ahmad Sunawari Long,2006, Sejarah Falsafah , Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm 93
(7) Ibid hlm hlm 94

Apa yang jelas di sini terdapat perbezaan yang ketara di antara pandangan Islam dan barat. Pandangan dunia barat adalah berpaksikan kepada fahaman akal fikiran, rasionalisme dan kebendaan dalam kehidupan mereka. Akal, perkembangan sains dan ketepatan matematik sebagai rujukan asas dalam kehidupan telah dipisahkan dari sumber wahyu yang akhirnya akan menyebabkan manusia tidak mengenali jalan menuju Tuhannya.

SEJARAH KEMUNCULAN RASIONALISME.

Menurut sejarah kemasukan pemikiran asing dalam Islam berlaku melalui dua saluran iaitu pertama ,melalui proses asimilasi bangsa dan kedua, melalui kegiatan penterjemah karya-karya asing dalam bahasa Arab.(8). Saluran pertama pengaliran pemikiran asing berlaku apabila wilayah-wilayah yang telah begitu lama dipengaruhi oleh tamadun Greek -Rumawi telah ditawan oleh tentera Islam seperti wilayah Syria. (9).

John of Damascus,menerapkan ajaran Kristian dan pemikiran Greek ke dalam pemikiran Islam. Masalah besar menunjukkan teologi Islam dipengaruhi pemikiran Greek dan Kristian ialah tentang keqadiman al_quran, kebebasan bertindak dan tentang sifat tuhan. Menurut ajaran Rasulullah SAW, baginda pernah melarang para sahabat membangkitkan persoalan qadar atau takdir Allah SWt kerana kesannya akan mencacatkan dan menggugat keimanan.Oleh disebabkan pertembungan budaya perkara ini diketepikan.Sausan (kristian dari Iraq peluk Islam kemudian murtad) memperkataka tentang qadar.Daripada Sausan, Maabad al-Juhani mempelajari tentang qadar.(10).

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
(8) F.E Peters, 1968. Aristotle and the Arabs: The Aristotelian Tradition in Islam. New York:New York University Press, hlm58-68.
(9) Morris s.Seale, 1961.Muslim Theology: A Study of Origins with Reference to The Church Fathers. London: Luzac & Co. Ltd., hlm 4.
(10) W.Montgomerry Watt,1973. The Formative of Islamic Though. Edinburgh: Edinburgh University Press,hlm 85.


Maabad ialah pelopor aliran qadariah menafikan takdir Allah SWT menekan kebebasan manusia bertindak.Beberapa orang Sahabat Abdullah ibn Abbad, Abu Hurairah, Jabir,Ans menasihatkan orang ramai memulaukan penganut aliran ini.Selepas Maabad aliran Qadariah disebarkan oleh seorang Qibti iaitu Ghailan al-Dimashqi.

Rentetan daripada fahaman Qadariah muncullah al-Ja`ad ibn Dirham dan juga Jahmn Ibn Safwan di khurasan mengasaskan fahaman Jabariah.Fahaman ini mengajar bahawa manusia sebenarnya tidak mempunyai sebarang kekuasaan terhadap sesuatu, kerana segala-galanya dibawah kawalan Allah SWT sepenuhnya.al-Ja`ad ibn Dirham terima aliran ini daripada Ibban Sam`an dan beliau terima dari Talut ibn A`sam ( seorang Yahudi hidup sezaman dengan Nabi). Jahmn Ibn Safwan pula terpengaruh dengan John of Damascus.tentang penafian sifat tuhan. (11). Dengan kematian Maabad al-Juhani dan Ghailan al-Dimashqi Qadariah tidak terus terhapus. Begitu juga kematian Jahmn Ibn Safwan tidak menyebabkan ajaran terhapus. Sebaliknya terus hidup dibawah naungan aliran baru Muktazillah.Wasil ibn `Ata’ pengasas aliran muktazillah berpendapat orang yang melakukan dosa besar bukan seorang yang kafir atau muslim tetapi terletak diantara kedua-duanya.

Dalam Tamadun Islam , orang Islam merujuk kepada ajaran Nabi Muhammad dalam menyelesaikan masalah. Selepas kewafatan nabi,umat Islam terdedah dengan situasi, isu dan kejadian yang baru memerlukan ijtihad bagi menyelesaikan sesuatu perkara dan masalah.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(11) Morris S. Seale, op.cit., hlm 46 -47.

Ijtihad ialah satu proses yang dilakukan oleh ulama untuk melakukan sesuatu hukum dengan dilakukan secara bersungguh-sungguh bagi situasi yang tidak wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ijtihad menggunakan logik sebagai pemangkin dan logic banyak digunakan dalam berhujah.Tokoh falsafah banyak menggunakan logik akal ialah golongan Muktazillah.Golongan Asyariyyah memegang kepada ajaran Islam yang asal..Golongan Muktazillah ditentang oleh golongan Asyariyyah terutama Imam Ghazali. Ianya ditentang kerana logik digunakan untuk berhujah tentang benda ghaib sehingga bertentangan dengan akidah Islam.Imam al-Ghazali seorang yang menulis buku yang besar menentang fahaman Muktazillah iaitu Tahafut al-Falasifah (Sanggahan Falsafah). (12).

Dalam bukunya tahafut al-falasifah beliau sendiri telah menyanggah pandangan ahli falsafah yang membawa kepada kekufuran yakni hujah alam ini qadim, tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecil alam ini, dan ketiadaan kebangkitan jasmani pada hari Qiamat. Al Ghazali tega bangun ditengah-tengah gelanggang falsafah, dan merobek seluruh pemahaman yang songsang dan bercelaru itu. (13).

bnu Rusyd, tokoh Muktazillah yang terakhir (dilahirkan di Sepanyol). Beliau menulis buku menjawab buku yang ditukis oleh Imam Al-Ghazali iaitu Tahafut al Tahafut. Hujah yang terdapat dalam buku karangan beliau itu tidak dapat menangkis hujah Imam Al-Ghazali. Falsafah dan logik merosot dalam tamadun Islam. (14).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
(12) Nota Kuliah Falsafah Sains.
(13) http://netlog.wordpress.com/tag/antara-syariat-dan-tasawuf/
(14) Nota Kuliah Falsafah Sains.
Kemunculan aliran rasionalisme di barat dirujuk kepada teori ilmu yang dipegang oleh ahli falsafah utama pada abad 17 dan ke 18 iaitu :(15)
1. Rene Descartes ( 1596-1659 M)
2. Baruch Spinoza ( 1632 -1677)
3. Gottrfied Wilhelm Leibniz (1646 – 1716 M).


RENE DESCARTES
  • Seorang Katolik Roman Perancis
  • Mengkritik falsafah klasik dan berpegang dengan ilmu Matematik yang hanya meyakinkan.
  • Falsafah Descartes dibangunkan berdasarkan suasana Zaman Renaissance dan latar belakang peringkat awal falsafah moden.
  • Berfahaman humanisme yang menolak autoriti agama bertujuan mencapai ilmu sains dan falsafah.
  • Akal adalah asas dan panduan bagi mencapai kebenaran
  • Bapa falsafah moden.
Karya- karya yang dihasilkan oleh Rene Descartes iaitu :(16).
1. Rules of the Direction of under Standing (1628)
2. Le Monde ( Sains dan Falsafah) (1634)
3. Discourse ( Fizik dan Matematik) (1637)
4. Meditations on the First Philosophy. (1641)
5. Prince of Philosophy (1644)
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
(15)Ahmad Sunawari Long,2006, Sejarah Falsafah , Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm 94



Semasa revolusi sains berlaku orde lama ditumbang dan digantikan dengan orde baru . idea-idea dan nilai-nilai lama digantikan dengan idea baru dan nilai baru yang mana membentukan pandangan dunia/pandangan semesta yang baru. Perkembangan ajaran dan aliran ide yang bersifat rasional dan sekular ini menyebabkan perasaan misteri dan ghaib terhadap alam semula jadi mula dihakiskan .Lama kelamaan masyarakat Eropah tidak lagi takut meneroka alam. Alam dianggap suatu fenomena yang boleh dikaji dan ditakluk untuk kepentingan material dan keduniaan.Pemikir zaman renaisans mula menentang ajaran Kristian yang mengongkong hidup mereka. Rene Descartes 1596- 1650 telah mula menunjukan tentangan secara tersendiri. Sebagaimana yang kita tahu pada masa itu amat susah untuk menyoal pihak agama dan institusi gereja dengan cara terbuka. Dimana pihak gereja mempunyai kuasa pedagogi yang membolehkan menangkap, menyeksa dan membunuh sesiapa yang dianggap anasir anti agama . Descartes menyoal ajaran kristian lama dalam buku 'discourse on the method' mengenai peranan dan kuasa tuhan dalam alam semesta. Methodologi atau kaedah saintifik Descatres membekalkan manusia dengan idea asas bersifat rasional dan logik. Descartes menyoal pandangan lama yang mengatakan tuhan menentukan segala fenomena yang wujud mengikut syarat dan hukum tertentu, katanya kita mungkin bermimpi, mabuk, gila, dan sebagainya. Jadi baginya bagimana seseorang itu dapat tahu dengan pasti bahawa dia itu sedang mengalami sesuatu pengalaman tertentu. Mengikut beliau tuhan mungkin tidak jujur . Manusia hanya dapat berpegang pada akal fikirannya sendiri. Tujuan descartes adalah membentuk methodologi baru yang dapat digunakan sebagai alat oleh manusia agar dapat merombak kembali pegangan hidup mereka. Bagi beliau manusia dapat hidup dengan bergantung kepada ilmu saintifik yang sistematik.

Langkah pertama yang Descartes lakukan ialah menimbulkan keraguan kepada sebarang pernyataan kecuali disahkan melalui ujian. Beliau memetakan masalah supaya dapat diselesaikan secara objektif. Kaedah ini juga dikenali sebagai aruhan akal dimana kejelasan akal itu penting.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
(16) Ibid hlm 95



Beliau meletakan kekuatan akal rasional melalui ideanya 'I think, therefore I am'. Disebabkan beliau memegang aliran idea humanisme, rasionalisme dan sekularisme beliau mementingkan manusia dan manusia diletakan dipusat alam.Beliau mementingkan rasionalisme dan menganggap idea rasional dan logikal lebih betul dan tepat dari idea-idea yang diwarisi dari generasi lama serta menganggap urusan dan pergolakan dunia ini berlaku semulajadi tanpa pengaruh atau arahan tuhan. Jelas dapat kita lihat Descartes menghubungkan teori sainsnya yang bersifat empirikal itu kepada pemikiran masyarakat Eropah dimana semua fenomena didunia ini berlaku mengikut hukum matematik yang mana dapat diselesaikan melalui cara tersendiri tidak melalui tuhan atau kuasa ghaib yang mentadbirnya. Descartes bukanlah tidak percaya tuhan malah beliau merupakan penganut khatolik yang kuat cuma beliau cuba merubah paradigma yang salah itu.

PENGARUH RASIONALISME DI MALAYSIA.

Pengaruh rasionalisme sememangnya telah bercambah di Malaysia dan semakin merebak di kalangan umat Islam. Bagi melihat pengaruh dan penerimaan aliran rasionalisme ini bolehlah dilihat pandangan Prof.Dr. Syed Hussein Alatas.

Dalam pandangan tentang rasionaliosme beliau menyatakan :
‘Soal menitik beratkan faktor ekonomi dan rasionalisme perlu sekali mengingatkan keadaan masyarakat kita yang sedang diselimuti oleh awan gelap, awan kepercayaan kuno, awan mistik yang karut, awan nilai-nilai kotor, awan pemikiran cetek dan degil, awan bebalisme,awan gelap yang hanya dapat dipecahkan oleh cahaya rasionalisme’.(17)
( Mengenai bebalisme dan peranan berfikir, lihat Syed Hussein Alatas, Intellectuals in Developing Socities, Frank Cass, London, 1977).

----------------------------------------------------------------------------------------------------------
.(17)Mengenai bebalisme dan peranan berfikir, lihat Syed Hussein Alatas, Intellectuals in Developing Socities, Frank Cass, London, 1977).


Rasionalisme, Yakni perincian berdasarkan akal, perlu sekali bagi membina system hidup keagamaan. Rasionalisme itu semacam cawan. Boleh kita gunakan untuk meminum air ataupun racun. Yang harus dicegah bukan cawannya tetapi racunnya. Yang kerana takut racun tidak mahu menggunakan cawan boleh saja minum macam anjing meyolorkan lidahnya ke dalam parit. Yang ditelannya itu air parit yang busuk baunya dan penuh kuman. Inilah watak mesum.(18).

Apa yang dapat difahami daripada pandangan Prof.Dr. Syed Hussein Alatas,jelas menunjukkan beliau menerima aliran rasionalisme dalam bentuk yang positif. Baginya ideologi rasionalisme membawa manfaat kepada umat Islam dari sudut kemajuan dan pemodenan. Rasionalisme perlu mendapat tempat dalam pemikiran umat Islam supaya keluar dari kegelapan. Walau bagaimanapun pandangan ini berbeza dengan pandangan pemikir Islam seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa Islam mempunyai pandangan hidup yang jauh berbeza dengan pandangan hidup Barat. Pandangan hidup Barat meletakkan falsafah humanisme, rasionalisme, sekularisme sebagai asas peradaban mereka. Sedangkan falsafah-falsafah ini amat asing dan tidak perlu dalam konteks umat yang beragama Islam.

Di Malaysia terdapat golongan yang berpegang kepada konsep kebebasan intelektualisme. Golongan ini mengagungkan rasionalisme dan pendekatan apa yang dikatakan secara sainstifik dan emperikal dalam soal agama.
Golongan ini membawa fahaman modenisasi dalam Islam yang bertentangan dengan akidah dan fahaman yang diiktiraf dan diterima oleh masyarakat di negara ini.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
(18)Prof.Dr. Syed Hussein Alatas 1979, Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah, Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd. Hlm147).



Modenisme Islam mengambil semangat pembaharuan dan reformasi. Dengan melihat model pembaharuan (modenisasi) yang telah berjaya merubah masyarakat di Barat. Modenisme di Barat telah menghasilkan apa yang dinamakan enlightenment, revolusi industri dan akhirnya telah meletakkan Barat sebagai negara yang maju dan pemimpin dunia. Menyedari kemunduran dan keterbelakangan Umat Islam, dan setelah mereka mengkaji faktor kemajuan Barat maka golongan modenis mengambil kesimpulan bahawa Umat Islam perlu bersikap terbuka terhadap tamadun Barat untuk menguasai sains Barat dan seterusnya mengikuti rentak kemajuan. Sikap keterbukaan ini didasari oleh pendirian bahawa ilmu itu bersifat bebas nilai atau neutral tidak diwarnai oleh ideologi pembawanya dan terserah sepenuhnya kepada pengguna sains tersebut untuk dapat digunakan sesuai kehendaknya. Apabila telah terbukti bahawa sains yang sama telah berjaya memberi kemajuan kepada masyarakat Barat, maka tentunya apabila digunakan oleh umat Islam ianya juga akan dapat menjanjikan kemajuan.(19).

Dalam buku The Glory of Iqbal (20) Mohammad Asaf Qidwa menyebut beberapa kritikan almarhum Muhammad Iqbal rh dengan penuh persetujuan terhadap pendidikan moden.
Antaranya ialah bagaimana pendidikan moden :

1. Telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka;

2. Dengan itu maka fikiran pemuda dan pemudi sekarang cerdas dan gemilang tetapi jiwa dan rohaninya gelap; kemerosotan rohaniah berlaku bergandingan dengan perkembangan mental yang cerdas;

3. Bagaimana akibatnya juga timbul di kalangan mereka sifat tidak mengenali jati-diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan destini atau masa hadapan dan nasib mereka sebenarnya;

4. Bagaimana mereka itu lebih dipengaruhi oleh ideologi-ideologi asing lebih daripada dipengaruhi oleh agama mereka sendiri;

5. Bagaimana sifat kebendaan yang berlebihan di kalangan mereka dan juga sifat berlebihan dalam bergantung kepada pekerjaan sebagai matlamat pendidikan menyebabkan keruntuhan moral dan kerohanian mereka;

6. Bagaimana timbulnya sikap mengambil peluang dan faedah kebendaan yang sementara dalam sesuatu kegiatan (undue expediency) bersekali dengan budaya “artificial” dan hidup meniru-niru yang tidak wajar.

7. Dengan itu pendidikan Barat moden menjadi alat penjajahan Barat ke atas Timur (kalau sekarang ini diperteguhkan lagi dengan seruan “Globalization” atau Globalisasi yang menjayakannya melalui ekonomi pasaran terbuka dan keadaan “dunia tanpa sempadan” dan “perkampungan global”);

8. Bagaimana pendidikan Barat moden yang terbentuk dalam atheisme , atau sekurang-kurangnya dalam keadaan keresahan mental dan kekalutan intelektuil (“intellectual anarchy”) mengakibatkan timbulnya skeptisisme, dan unsur-unsur rasionalisme dan pemikiran bebas di kalangan mereka yang terdidik di dalamnya;

9. bagaimana kejayaan saintifik dan faedah-faedahnya membolehkan manusia menguasai angkasa lepas dan terbang di angkasa tetapi menyebabkan ianya terangkat daripada tempat berpijaknya dan memisahkannya daripada akar umbi rohaniahnya;

10. Bagaimana pendidikan itu berkecenderungan untuk membataskan nilai dan martabat manusiawi dalam hubungan dengan mesin, industri, dan lain-lain manifestasi kemajuan kebendaan walaupun ianya adalah “mutiara yang dikehendaki dari samudera seluruh penciptaan” dan “hasil penuaian dari ladang gandum kehidupan”;

11. Bagaimana akibatnya pengertian ilmu dan kefahaman manusiawi menjadi cacat dan tercela tanpa rahmat Ilahi dan wahyuNya;

12. Bagaimana dalam suasana pendidikan demikian setiap lintasan pemikiran yang tidak menasabahpun diangkat martabat menjadi “falsafah” yang dihormati;

13. Bagaimana sifat tergesa-gesa keinginan cepat dalam segala perkara dalam zaman teknologi ini menyebabkan kestabilan segala perkara menjadi musnah dan falsafah menjadi himpunan pemikiran yang tidak koheren yang tidak menentu (“haphazard collection of incoherent ideas”);

14. Bagaimana pendidikan demikian menggalakkan timbulnya sikap meniru-niru buta tamaddun Barat yang menghilangkan semangat dan roh keaslian dan tindakan yang bebas merdeka; dengan itu generasi muda tidak ada kewujudan dan jatidiri asli sebenarnya kerana ia menjadi bayangan bagi wujud Barat dengan kehidupan “artificial” yang diamalkannya; dengan itu

15. jiwa mereka dilitupi dukacita dan rasa bosan, bukan lagi penuh dengan harap dan cita-cita tinggi dan murni.Pendidikan Islam di Malaysia, umpamanya, memberikan penekanan terhadap pembangunan akal, rohani dan jasmani secara bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni. Ia juga pendekatan reformatif bagi melahirkan modal insan yang maju dalam pemikiran, terbangun akhlak dan etikanya serta memiliki ketangkasan dan kelasakan dalam melakukan sesuatu.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------
(19)Aziz al-Azmeh “Muslim Modernism and the Text of the Past” dalam Islam and The Challenge of Modernity. International Symposium at ISTAC, Kuala Lumpur,1994. ed. Sharifah Shifa al-Attas.
(20) The Glory of Iqbal, terjemahan Inggeris oleh Mohammad Asaf Qidwa’I, Academy of Islamic Research and Publications, Lucknow, 1973 hlm 59-69



Proses pembaharuan dalam ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, terutama apabila berhadapan proses globalisasi yang amat mencabar kini. Proses ini bukan bermakna kita harus menerima faham Barat secara sewenang-wenang. Faham liberal, sekular, rasionalis, pragmatis, naturalis, humanis dan sebagainya yang bersumber daripada akar-masalah dan falsafah orang Barat tidak sesuai dengan tradisi pembangunan orang Islam.Di sini telah dijelaskan beberapa persoalan berkaitan pengaruh rasionalisme di Malaysia.Inilah yang dikatakan serangan pemikiran yang melanda dunia umat Islam sehingga umat terbelenggu dengan masalah Inferiority complex iaitu sifat merendah diri yang keterlaluan dan tidak berasas, kemudian datang pula kuasa imperialisme barat dengan slogan karut ‘White Men Burden’ (Beban Orang Putih) untuk mentamadunkan umat Islam bagi melindungi niat mereka dalam melebarkan hegemoni kuasa barat.

Masalah peperangan antara ideologi dengan pegangan akidah tauhid umat Islam yang suci ini kini semakin hebat tanpa kita sedari dalam perjalanan alaf baru ini. Peristiwa yang berlaku di sekeliling kita kini adalah berpunca kepada pertembungan antara agama dan ideologi iaitu dengan lebih jelas lagi antara Islam dan fahaman barat.

Allah Ta’ala sangat mencelanya sebagaimana dalam Firman-Nya di Al-Qur’an yang bermaksud:
“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (yakni pengetahuan tentang isi Al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaithan (sampai dia tergoda). Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.
Barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati (akal pikiran), tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat kebenaran agama Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu keadaannya seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih tidak berfikir lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raf: 175 – 179).

FAHAMAN ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA

Aliran rasionalisme mempengaruhi masyarakat Muslim sehingga muncul fahaman Islam liberal. Fahaman ini cuba memesongkan manusia. Ianya meracuni fikiran bijak pandai Islam dengan cara logik mereka. Kita lihat hari ini suara-suara dari golongan ini cukup kuat dan ada yang menafikan azab kubur.Fahaman ini juga dipanggil hemunatik. Sekarang ini suara lantang kedengaran dari golongan liberalisme supaya Quran itu juga ditapis. Yang mana tidak relevan bagi mereka dibuang. Sedangkan Quran itu kitab Allah.

Islam liberal melihat majoriti umat Islam mengikut aliran tradisional konservatif yang jumud dan tidak memberi ruang kepada akal untuk berperanan dan berijtihad.Oleh itu, mereka lebih menggunakan akal dan apabila berlakunya pertentangan antara nas dan akal maka didahulukan akal. Mereka berhujahkan pandangan al-Tusi yang yang mengharuskan taqdim maslahah ala nas. (Mendahulukan kepentingan umum atas teks). Sebenarnya, ajaran Islam memandang mulia kedudukan akal dan meletakkannya di tempat yang tinggi. Akal digunakan dalam semua disiplin ilmu Islam seperti ilmu kalam, fiqh, mantiq dan usul fiqh. Kaedah qiyas, istihsan, masalih al-Mursalah yang merupakan sumber perundangan Islam adalah bersumberkan akal.Namun akal harus dipimpin oleh wahyu.

Penolakan terhadap otoriti agama. Mereka menekankan tentang kebebasan berpendapat dan sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama dan hukum. Islam menetapkan bahawa otoriti dalam ilmu pengetahuan amat penting. Banyak ayat dan hadith yang menyarankan agar menghormati ilmuwan dan berpegang kepada disiplin ilmu dan adab-adab belajar dan mengajar.Termasuk dalam seruan ini ialah penafsiran semula al-Quran yang dikatakan tidak sesuai untuk zaman sekarang dan penganayaian terhadap wanita.Islam Liberal menyeru kepada pluralisme agama dan menanggap semua agama menuju ke arah kebenaran. Mereka berdalilkan bahawa kedatangan nabi Muhamamd itu tidak memansuhkan syariat yang terdahulu dan Islam adalah menyempurnakan agama yang terdahulu. Hakikatnya, agama yang diakui oleh Allah adalah Islam yang jelas disebut dalam al-Quran dan banyak ayat-ayat al-quran yang menjelaskan orang beriman dan orang fasik adalah tidak sama (al-Sajadah, ayat 18), (al-Hasyr, ayat 20), (ali Imran, ayat 19).Penolakan terhadap syariat Islam dan beranggapan bahawa syariat adalah ciptaan ulamak dan fuqaha selama 300 tahun pertama hijrah. Menurut mereka, syariat Islam tidak suci (divine) dan menyimpulkan bahawa syariah adalah produk ulamak dan pemerintah yang tertentu untuk terus berkuasa. Di sini jelas kekeliruan mereka kerana tidak membezakan antara syariah dan fiqh, di antara thabit dan mutaghayyirrat diantara perkara yang disepakati atau qat'iyyat dan perkara-perkara ijtihadi. Tanpa melihat kepada perkara-perkara tersebut sudah tentu kekeliruan akan timbul. Penelitian penulis mendapati, bahawa pendapat sekiranya keinginan Islam liberal bermaksud kepada kemajuan Islam menurut perspektif al-Quran dan al-Sunnah dengan mengambil kira pelbagai pandangan tokoh-tokoh dan sarjana muslim dan meraikan realiti dan keadaan, maka tiadalah salah penggunaan tersebut.
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) telah membantah beberapa penulis yang berfahaman Islam liberal dikatakan mencabar Islam dan penghinaan kepada Rasulullah dan ulama.Antaranya ialah Farish A.Noor, Akbar Ali, Zainah Anwar dan Malik Imtiaz Sarwar.

KESIMPULAN
Demikianlah daripada penulisan ini tentang rasionalisme yang disentuh dari aspek definisi, ciri-ciri, sejarah perkembangan dan pengaruhnya di Malaysia. Sememangnya ideologi ini membawa kesan terhadap pemikiran umat Islam. Lebih-lebih lagi kemunculan aliran rasionalisme dilihat mencapai kemajuan sains dan teknologi dan seterusnya melahirkan masyarakat moden.Apa yang jelasnya di sini umat Islam tidak terlepas dari arus permodenan secara global. Oleh itu kemantapan ilmu berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah serta kejituan ilmu ulama-ulama yang muktabar amat perlu bagi menjamin aqidah tidak dipengaruhi ideologiyang menyesatkan. Jika dilihat pandangan Imam Al-Ghazali dalam menentukan kebenaran sepertimana katanya :
“Pada akhirnya saya sampai kepada kebenaran,bukan menerusi jalan akal budi serta pengumpulan bukti, melainkan menerusi cahaya yang dipancarkan oleh Allah ke dalam jiwaku.”
Akhirnya dapat disimpulkan bahawa agama bukan dibina berdasarkan logik akal semata-mata ianya perlu kepada sandaran wahyu dan bimbingan ulama' mu'tabar.

BIBLIOGRAFI

Ahmad Sunawari Long,2006, Sejarah Falsafah , Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Aziz al-Azmeh “Muslim Modernism and the Text of the Past” dalam Islam and The
Challenge of Modernity. International Symposium at ISTAC, Kuala Lumpur,1994. ed. Sharifah Shifa al-Attas.

Dr. Ahmad Mahmud Shubhi, 2001.Filsafat Etika Jakarta : PT Serambi Ilmu Semesta.

F.E Peters, 1968. Aristotle and the Arabs: The Aristotelian Tradition in Islam. New
York:New York University Press, hlm58-68.

H.Moh. Sjafa’at Mintaredja S.H, 1975, Rasionalisme Versus Iman ,Jakarta : Tunas Jaya

Mohd Nor Mamat Pemikiran Islam dan Dunia Hari Ini:Senario Dunia Islam dan Strategi
Menghadapi Cabaran Ummah.

Muhammad Maghfur W. 2002. Koreksi atas Kesalahan Pemikiran dan Filsafat Islam,
Bangil- Jatim : Penerbit Al-Izzah

Morris s.Seale, 1961.Muslim Theology: A Study of Origins with Reference to The Church
Fathers. London: Luzac & Co. Ltd., hlm 4.

Prof.Dr. Syed Hussein Alatas 1979, Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah,
Singapura : Pustaka Nasional Pte Ltd. Hlm147).

Syed Hussein Alatas,1977. Intellectuals in Developing Socities, Frank Cass, London.


The Glory of Iqbal, terjemahan Inggeris oleh Mohammad Asaf Qidwa’I, Academy
ofIslamic Research and Publications, Lucknow, 1973 hlm 59-69
W.Montgomerry Watt,1973. The Formative of Islamic Though. Edinburgh: Edinburgh
University Press,hlm 85.

http://netlog.wordpress.com/tag/antara-syariat-dan-tasawuf/

http://ppips.utm.my/web/islambest/index.php?option=com_content&task=view&id=114&Itemid=105

http://ilmiah.blogdrive.com/archive/51.html
http://www.permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=32

http://petola1.blogspot.com/2006/06/babi-dan-sains.html

http://www.abim.org.my/minda_madani/images/aliranpemikiran.jpg" align="left"

http://asamlaksa.blogsome.com/2005/09/20/politik-lupa

http://www.msdwdc.org/archive.php?index=19&dir=./students_info/hal_ehwal_agama/archive&filename=renungan8.html
http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=3220&Itemid=50

0 comments:

Berikan Komen Anda Disini

Leave a Comment

/blogger