Monday, October 20, 2008

Faktor-faktor Penularan Pengaruh Asing dan Kesannya


FAKTOR – FAKTOR PENULARAN DAN PENYEBARAN PENGARUH YANG MEROSAKKAN PEMIKIRAN

Mengetahui faktor – faktor penyebab kepada penyebaran pengaruh asing yang berideologi bertentangan adalah sangat penting bagi menetapkan terapinya atas dasar diagnosisnya.Hal demikian kerana tiada pengubatan kecuali selepas didiagnosis dan tiada diagnosis kecuali dengan menjelaskan sebab-sebabnya dahulu.Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang atau sesuatu kelompok yang terpincang dari jalan yang lurus serta jauh dari manhaj sebenar yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat dan tabi'in.Di antara sebab dan faktor penggerak yang telah mendorong tersebarnya fahaman dan ideology seperti komunisme, liberal dan sebagainya adalah seperti berikut :


(i) Lemahnya pandangan terhadap hakikat agama islam.

Di antara sebab-sebab asasi dari sikap ekstrem ini ialah lemahnya pandangan terhadap hakikat agama, kekurangan ilmu pengetahuan mengenai fikhnya serta kurang mendalami rahsia-rahsia untuk meliputi pemahaman akan tujuannya.Hal demikian bermaksud pengetahuan yang sedikit membuatkan seseorang itu menyangka bahawa dia termasuk dalam golongan orang yang berpengetahuan sempurna, bahkan banyak yang belum diketahuinya.

Di dalam kitab al-I'tisham, Abu Ishaq asy-Syatibi telah mengingatkan : "Sebenarnya yang menjadi punca utama timbulnya pengada-adaan serta perselisihan buruk yang mengakibatkan perpecahan umat ialah kerana anggapan seseorang tentang dirinya".Hal ini kerana ia akan bertindak berdasarkan anggapan tersebut, dengan menjadikan pendapatnya sebagai pendapat yang harus diikuti.Adakalanya persoalan itu dalam hal yang partial atau satu cabang daripada furu'udin (cabang hukum agama).Adakalanya pula dalam hal usuluddin (pokok agama) sama ada yang bersifat akidah atau amaliah.Ia akan berpegang pada sebahagian daripada bahagian syariat, segera menyimpulkan hasil pemikirannya tanpa meliputi berbagai makna dan memahami maksudnya.Inilah ahli bidaah (yang mengada-adakan) sebagaiman yang telah diperingatkan oleh Rasulullah dalam sabdanya :

"Allah tidak mencabut ilmu dengan cara mencabutnya sekaligus dari manusia tetapi ilmu iti dicabutnya dengan mewafatkan para ulama (ahli ulama).Sehingga apabila sudah tidak ada lagi orang yang berilmu , manusia melantik orang-orang bodoh sebagai pemimpin.Ketika ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu.Dengan demikian,mereka sendiri tersesat dan orang lain tersesat juga."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


(ii) Memahami nas-nas agama secara literal, harfiah dan makna zahir.

Tidak menghairankan apabila kita melihat kebanyakan orang yang dipengaruhi oleh fahaman yang merosakkan pemikiran ini berpegang pada nas-nas agama secara harfiah sahaja tanpa mendalami maksud kandungan dan tujuannya.Pada hakikatnya mereka hendak kembali semula kepada aliran zahiri bagi umat terlepas daripadanya, iaitu aliran yang menolak mempertimbangkan alasan, motivasi dan hukum, menolak adanya perbandingan (kias, analogi) serta menganggap bahawa syariat adalah memisahkan antara dua hal yang sama sepenuhnya dan menggabungkan antara dua hal yang berbeza sepenuhnya.

Sebagai contohnya, masalah berkaitan ibadah tidak dapat disamakan dengan masalah adat kebiasaan dan muamalat.Hal ini kerana masalah ibadah merupakan suatu kepastian yang harus ditaati manusia tanpa memandang maksud dan kebaikan di dalamnya.Hal ini adalah berlainan dengan apa yang berkaitan dengan masalah adat kebiasaan dan muamalah.

Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan bahawa menafkahkan kepada para fakir miskin dikalangan muslimin lebih penting daripada menunaikan ibadah haji, walaupun untuk kali yang pertama.Tetapi dalam masalah selain ibadah iaitu yang berkaitan dengan adat kebiasaan dan muamalah antara sesama manusia, kita hendaklah memandang kepada sebab-sebabnya serta melihat kepada hal yang membawa kepada kebaikan dan maksud tertentu yang terkandung dalam beberapa hukum.

(iii) Mengutamakan masalah sampingan tetapi melupakan masalah pokok

Mengutamakan masalah sampingan tetapi melupakan masalah pokok adalah merupakan salah satu faktor yang mendorong kepada penularan dan penerapan nilai pengaruh asing yang merosakkan pemikiran.Hal demikian kerana ia adalah di antara tanda – tanda tiada keteguhan dalam ilmu pengetahuan dan lemahnya kesedaran mengenai keagamaan.Golongan ini juga lazimnya sibuk mempersoalkan masalah – masalah sampingan dan cabang syariat tetapi mengabaikan pokok utama yang berkaitan dengan eksistensi dan esensi umat serta nasib mereka.

Sebagai contohnya, kita sering saksikan sebahagian dari mereka membuat masalah yang berpanjangan tentang soal – soal yang kurang penting, seperti tentang mencukur janggut sama ada seluruh atau sebahagiannya, memanjangkan kain, menggerakkan jari dalam tasyahhud atau hal yang sejak dahulu telah menimbulkan perdebatan yang berlarutan.

Hal ini terjadi ketika sekularisme yang tidak mengakui agama terus menyerbu, marxisme yang ateis makin tersebar luas,sewaktu zionisme mengukuhkan penjajahannya, salibisme melancarkan tipu dayanya, golongan pemecah belah beroperasi dalam tubuh umat yang besar ini dan Kristian menyusup masuk ke negara – negara Islam di benua Asia dan Afrika, dengan maksud hendak menghapuskan eksistensi keperibadian sejarahnya serta mengulitinya dari keperibadian islamnya.Pada waktu yang sama, umat islam ditindas dari berbagai penjuru dunia dan orang yang ikhlas menyeru kepada Islam disempitkan ruangnya bahkan dianiaya.

(iv) Berlebih-lebihan dalam mengharamkan

Selain itu, di antara tanda – tanda kedangkalan dan tiada keteguhan dalam pemahaman agama serta syariat ialah kerana cenderung kepada penyempitan, penyulitan dan berlebihan dalam mengharamkan sesuatu walaupun al – Quran dan sunnah serta para ulama salaf telah melarang bersikap demikian.Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

"Janganlah kamu mengatakan secara dusta, ini halal dan ini haram, untuk mengadakan kebohongan terhadap Allah.Sesungguhnya orang-orang yang mengada – adakan kebohongan terhadap Allah, tidak akan mendapat kemenangan."
( Al-Nahl : 116 )

Para ulama salaf tidak menyatakan haramnya sesuatu kecuali yang telah diketahui tentang haramnya secara tepat.Apabila belum dipastikan keharamannya, mereka akan berkata : "Kami tidak berpendapat demikian", dan mereka tidak akan memastikan bahawa itu haram.Tetapi bagi orang yang cenderung bersikap ekstrem ini akan segera mengharamkannya.Hal demikian kerana, mereka mungkin terdorong oleh sikap ihtiyath dan berhati-hati jika akan berbaik sangka, atau mungkin akibat dorongan – dorongan lain yang hanya diketahui oleh Allah.


(v) Pemahaman keliru tentang beberapa pengertian

Di antara faktor lain yang menyebabkan seseorang itu bersikap ekstrem ialah pemahaman keliru tentang beberapa pengertian.Hal demikian kerana kedangkalan fikiran dalam memahami islam dan tidak jelas mengenai syariat serta maksud risalahnya telah mengakibatkan adanya berbagai kekeliruan dalam memahami konsep islam, serta mengganggu pemikiran golongan muda atau membuat mereka memahami sesuatu yang tidak sesuai dengan maksud yang dikehendaki.Di antaranya, pengertian – pengertian penting yang harus dijelaskan definisinya untuk mencegah timbulnya pernyataan – pernyataan yang peka dan berbahaya ke atas diri peribadi tertentu.

Sebagai contohnya, pengertian tentang iman, islam, kekufuran, kemusyrikan, jahiliah dan sebagainya hendaklah dijelaskan definisinya dengan baik.Bagi suatu kelompok yang tidak memiliki citarasa mengenai Bahasa Arab dan tidak memahami rahsianya telah mencampuradukkan pengertian antara hakikat dan majaz (kiasan) sehingga menyebabkan kekeliruan dalam berbagai perkara dan pertimbangan.Hal ini kerana mereka tidak membezakan antara iman yang sejati dan iman biasa, antara islam yang sempurna dan islam biasa (seadanya).Selain itu, mereka juga tidak membezakan kekufuran besar yangmengeluarkan seseorang dari agama dan yang bersifat maksiat, antara syirik besar dan syirik kecil, tidak pula nifak akidah dan nifak perbuatan serta menganggap kejahiliahan sikap dan perilaku, sama seperti kejahilan akidah.Sebaiknya pengertian – pengertian tersebut harus mendapat sorotan khusus, agar tidak menimbulkan bahaya besar.

(vi) Mengikut yang samar dan meninggalkan yang jelas

Pokok di sebalik sikap melampaui batas dan menyimpang dalam memahami agama, sama ada masa dahulu atau sekarang iaitu mengikut nas – nas yang mutasyabihat (tidak jelas) dan meninggalkan yang muhkamat ( jelas dan terang ).Hal ini tidak akan timbul dari orang yang teguh dalam ilmu kerana ini hanyalah sikap orang yang hati mereka cenderung kepada yang salah.Sebagaimana firman Allah :


فيتبعون ما تشبه منه ابتغاء الفتنة وابتغاء تأويله

"Maka mereka mengikut ayat – ayat yang mutasyabihat ( samar ) kerana menghendaki kekacauan dan penyimpangan maknanya."

( Al – Imran : 7 )

Maksud mutasyabihat ialah pengertian yang tidak terbatas dan tidak dapat diyakini kebenarannya manakala muhkamat pula ialah pengertian yang terbatas dan jelas.Bagi golongan ekstrem dan ahli bidaah, mereka akan mengikut hal – hal yang mutasyabihat dan berpaling dari hal muhkamat.Mereka akan berpegang teguh kepada yang mutasyabihat dalam menetapkan pelbagai pengertian, lalu menyimpulkan masalah – masalah yang amat berbahaya.Puncak bahaya itu ialah dalam menetapkan penilaian terhadap individu dan masyarakat, serta pendirian dan sikap yang berkaitan dengan mereka dalam hubungannya dengan sikap kasih sayang dan permusuhan, kecintaan dan kebencian serta anggapan tentang mereka, apakah tergolong dalam kaum Mukmin yang harus dicintai atau kaum kafir yang harus diperangi.


(vii) Fanatik kepada sesuatu ilmu tanpa mengkaji pandangan dan fahaman lain yang lebih tepat dan bersumberkan syariat Allah

Di antara sebab – sebab lain yang mendorong seseorang itu terpengaruh dan sentiasa dipengaruhi oleh pemikiran yang boleh merosakkan akidah serta pemikirannya ialah apabila mereka Fanatik kepada sesuatu ilmu tanpa mengkaji pandangan dan fahaman lain yang lebih tepat dan bersumberkan syariat Allah .Dalam hal ini, golongan tersbut tidak mahu mendengar pendapat orang lain, tidak mahu berbincang serta tidak suka pendapat mereka dijadikan bahan perbandingan dengan yang lain ataupun menerima pembetulan dari orang yang lebih arif.

Kebanyakan mereka tidak mempelajari ilmu pengetahuan guru – guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam, tetapi hanya mempelajari ilmu dari buku dan akhbar secara langsung tanpa memiliki kesempatan berdialog, menerima dan menolak, serta menguji kebenaran dengan membahas dan menyelidiki.Mereka hanya sekadar membaca dan memahami sesuatu lalu membuat kesimpulan daripadanya.Adakalanya akan timbul rasa keliru dalam bacaan, memahami serta membuat kesimpulan dalam diri mereka.Adakalanya terdapat sanggahan yang kuat tetapi mereka tidak mengetahuinya kerana tidak berjumpa dengan orang yang dapat membimbimng mereka.

Mereka juga lupa bahawa untuk memahami ilmu syariat, mereka harus kembali kepada guru yang dapat menunjukkan jalan sebenarnya.Orang yang mengharungi lautan ilmu seperti seorang diri sedangkan dia belum pandai berenang, dikhuatiri akan terumbang – ambing oleh gelombang laut.Bahkan adakalanya dia tidak mampu mencapai pantai yang dituju dan tidak menjumpai orang yang dapat menyelamatkannya, kerana ia mengharungi lautan tanpa penolong dan petunjuk.

Begitu jugalah mempelajari syariat agama tanpa guru, tidak akan terlepas dari kekeliruan terutama di persimpangan jalan atau ketika berlaku pertentangan dalil – dalil dan penilaian.sehingga akhirnya mendatangkan kesan kepada akidah mereka sendiri sebagai contohnya ajaran sesat. Inilah juga yang menyebabkan para ulama salaf mengingatkan kepada orang yang mempelajari ilmu atau yang masih dalam tahap belajar. Dengan mengatakan :

"Jangan mempelajari Al – Quran dari mushhafi dan jangan menuntut ilmu dari suhufi."

Maksud mushhafi ialah ialah orang yang menghafal al – quran dari mushaf sahaja tanpa mempelajarinya dengan riwayat dan melalui guru atau qari.Bagi pengertian suhufi pula ialah otang yang mendapat ilmu dari bukusemata – mata tanpa berguru kepada ilmuwan dan golongan cendiakawan.




KESAN-KESAN PENULARAN PENGARUH ASING

Selain mengetahui faktor – faktor penyebab , kita juga hendaklah mengetahui akan kesan – kesan yang timbul akibat daripada gejala atau fahaman yang menyesatkan minda tersebut.Hal tersebut kerana semua kesan yang diperolehi adalah amat mendukacitakan kita semua serta memberi impak yang negatif kepada agama, bangsa dan Negara.Jesteru, di antara kesan yang timbul akibat daripada timbulnya sikap ekstrem ini adalah seperti berikut :

i) Dunia islam meninggalkan islam

Kita akan berasa amat dukacita apabila segala penyakit terkena kepada akidah, ibadat dan muamalah kaum muslimin.Bagi seseorang atau sesuatu kelompok yang terpincang dari landasan agama, pegangan islam mereka bertambah lemah.Malah, mereka cuba mencari formula baru kerana merasakan Islam sudah tidak berfungsi lagi.Perkara yang sebenarnya, bukan Islam yang tidak berfungsi, tetapi mereka sendiri yang tidak kembali menghidupkan Islam yang sebenar atau Islam tulen.Ternyata segala rancangan membangunkan umat tanpa Islam gagal.

Umar bin al-Khattab pernah berkata :

انا كنا أ ذ ل قوم فأعزنا الله بالإسلا م فمهما نطلب العزة بغير ما أعزنا الله به أ ذ لنا الله
Maksudnya :
''Kita dahulunya adalah kaum yang hina, ALLAH telah memuliakan kita dengan" Islam.Andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang telah Allah muliakan kita, kita akan dihina oleh Allah.

Abu al-Hasan Ali al-Nadwi dalam bukunya, Kaifa Dakhala al-'Arab al-Tarikh (Bagaimana Arab Boleh Tercatat Dalam Sejarah) menggambarkan betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah.Sekalipun mereka mempunyai cirri – cirri yang baik dan akhlak yang mulia.Sebagai contohnya mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda.Mereka juga mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik.Malangnya, kesemua itu tidak mampu membawa mereka persada sejarah yang gemilang.Namun, mereka akhirnya berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah.

ii) Kagum dengan dunia barat dan memunculkan pelbagai aliran

Dunia Islam dibaluti dengan pelbagai penyakit.Hal ini semua adalah berpunca daripada sikap memesongkan agama.Kelemahan akidah ini juga turut mengundang kelemahan lain.Dengan itu, kita tidak akan ke hadapan dalam agama, teknologi dan juga pembangunan.Dalam masa yang sama, Barat mengambil alih kebangkitan kebendaaan dan kemodenan.Barat yang telah kehilangan agama, mengisi roh tamadun mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan sebagai perkara terpenting.Nilai agama jauh terasing daripada pembangunan yang mereka usahakan.

Seiring dengan hasrat Revolusi Industri, kamus halal dan haram tiada tempat dalam era ini.Bahkan bagi mereka, terikat dengan agama dalam menempuh hidup yang lebih selesa serta menikmati kemajuan adalah suatu kekolotan.Ternyata mereka benar-benar mencapai era pembangunan kebendaan yang mengagumkan.

Firman ALLAH S.W.T :

فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبواب كل شيء حتى اذا فرحوا بما أوثوا أخذ نا هم بغتة فاذا هم مبلسون

Maksudnya :
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka,KAMI" bukakan kepada mereka pintu-pintu segalanya (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka,KAMI bertindak terhadap mereka secara mengejut, mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).

Golongan yang terpesong ini begitu kagum dengan perkembangan di Barat ini.Mereka ingin Dunia Islam menjadi seperti Barat.Mereka merasakan setiap pandangan dan tindakan Barat mempunyai nilai ketamadunan yang tinggi.Mereka ingin menyerapkan nilai-nilai Barat ke dalam kehidupan umat Islam dengan harapan umat akan maju.Mereka juga berasa malu dengan apa yang ada di dunia Islam yang bertentangan dengan Barat, sekalipun perkara itu diperintahkan oleh Islam.

iii) Timbul salah faham terhadap kemunduran umat

Hasil daripada kejahilan mereka terhadap agama, mereka telah tersalah faham dan kecewa melihat keadaan umat.Mereka menganggap isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah tidak berfungsi dalam membangunkan umat.Bahkan terselit dalam jiwa mereka perasaan bahawa Islam ini kolot, tidak adil dan seumpamanya.Racun Barat begitu mengalir dalam urat nadi mereka.

Mereka juga lupa hakikat bahawa umat Islam tidak perlu mengambil Barat sebagai asas dalam membangunkan bangsa.Islam mempunyai asas ketamadunannya yang tersendiri.Ia telah menganugerahkan umatnya kegemilangan tamadun dalam tempoh yang begitu panjang.Kelemahan dan kemunduran umat Islam bukan kerana Islam.Sebaliknya kerana memesongkan Islam.Islam tulen telah dipinggirkan daripada kehidupan umat.

Kita tidak boleh membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri daripada ikatan Islam.Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri daripada al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlulah membinanya atas nama islam.Jika inginkan ketamadunan dalam erti kata yang tidak difahami oleh Islam, anuti sahaja tamadun Barat dan anggaplah kita sebahagian daripadanya seperti yang dikempen oleh Taha Hussain.Namun, apabila kita ingin membina kemajuan atas nama Islam, kita mesti terikat dengan peraturan Islam.

iv) Mempelajari islam dari barat

Disebabkan perasaan kagum yang menebal terhadap Barat, ramailah anak-anak orang Islam menjadikan Barat sebagai kayu ukur untuk segalanya.Bagi mereka, penilaian Barat adalah penilaian yang paling waras dan terbawa-bawa ke dalam masalah agama.Maka berpusu-pusulah anak-anak orang Islam menuju ke Barat untuk menuntut ilmu pengetahuan termasuk dalam bidang pengajian Islam.Jika mereka menuntut ilmu-ilmu lain yang memang tidak dinafikan Barat memiliki kemajuan dan kecanggihan, tidak mengapa.Bahkan itu merupakan sesuatu yang patut digalakkan supaya kita mengambil manfaat daripada kemajuan teknologi mereka.Tetapi ia juga melibatkan ilmu-ilmu agama.

Mempelajari Islam di negara Barat bukanlah suatu kesalahan.Dengan syarat, sumber atau gurunya hendaklah seorang yang beriman.Namun, mempelajari Islam daripada seorang yang tidak beriman adalah sesuatu yang ganjil.Hal ini kerana, teras Islam adalah akidah dan ketundukan kepada ALLAH dalam persoalan ibadah.

Kata-kata Muhammad Bin Sirin (w:110 H) :

ان هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم


Maksudnya :
"Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan al-Sunnah) adalah agama.Oleh itu," perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.

Kesan daripada ini, sesetengah pelajar Muslim benar-benar termakan racun yang diletakkan dalam pemikiran mereka.Lalu memuntahkan racun itu di tengah masyarakat Islam.Inilah yang dilakukan oleh golongan Islam Liberal di tengah masyarakat Islam hari ini.





v) Meniru gaya Barat dalam berfikir


Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan di Barat, ia juga turut dibangkitkan di dunia Islam.Sebagai contohnya, isu hak wanita.Hal ini kerana, terdapat adat istiadat atau pegangan sesuatu kaum yang menganut Islam, bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah, sekaligus menindas kaum wanita.Begitu juga pegangan mazhab yang sempit seperti kuasa bapa memaksa anak perempuannya berkahwin dengan sesiapa yang disukainya.

Namun, itu semua bukannya salah Islam.Apa yang perlu diperbetulkan ialah minda dan pemikiran umat agar kembali kepada Islam tulen.Malangnya golongan ini seakan memberontak terhadap Islam sehingga membabitkan syariat ALLAH dan Rasul-NYA.Mereka jahil terhadap syariat dan rohnya.Mereka melihat hukum-hakam Islam secara terpisah dengan tujuan mengkritik.Telah terbukti dalam catatan sejarah bahawa Islam adalah pembela sebenar kaum wanita.Sebelum kedatangan Islam, hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan yang lengkap.Jika ada pun, ia adalah atas ehsan dan simpati kaum lelaki semata-mata.Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai.Sebagai contohnya, masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya.Masyarakat Greek pula menganggap wanita lebih rendah nilainya daripada lelaki.Pelacuran pula menjadi amalan biasa dalam masyarakat Greek dan Rom.Manakala masyarakat Mesir Kuno pula menganggap wanita adalah lambang syaitan dan masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup.

PERBINCANGAN:
Pengaruh asing yang tersebar dengan menggunakan pelbagai bentuk telah mengundang masalah kepada umat Islam dan umat-umat lain. Kebudayaan yang ditonjolkan oelh Barat pula ternyata merosakkan masyarakat mereka sendiri. Oleh itu, beberapa langkah berjaga-jaga perlu dilakukan supaya generasi yang akan datang terus mengamalkan nilai-nilai mulia dalam hidup mereka. Terangkan langkah-langkah tersebut.

0 comments:

Berikan Komen Anda Disini

Leave a Comment

/blogger